Saturday, August 8, 2009

RAMADHAN AL-MUBARAK...

Secara ringkasnya bulan Ramadhan terbahagi kepada 3 fasa iaitu :
Fasa Pertama : 10 hari yang awal merupakan fasa rahmat
Fasa Kedua : 10 hari berikutnya merupakan fasa keampunan
Fasa Ketiga : 10 hari terakhir merupakan fasa keselamatan daripada api neraka
Kelebihan Bulan Ramadhan
Ramadhan adalah bulan yang mulia yang padanya ada kebaikan dan keberkatan. Allah dan Rasul SAW telah menjelaskan kelebihan bulan ini, antaranya:
Bulan yang diturunkan padanya Al-Quran:
Allah berfirman :Maksudnya: “Bulan ramadhan, bulan yang diturunkan padanya (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara haq dan batil), barang siapa antara kamu yang hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu..” [Al-Baqarah: 185]
Bulan yang padanya ada Lailatul Qadr:
Allah berfirman:Maksudnya: “Sesungguhnya, kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada lailatul qadr. Dan tahukah kamu apakah lailatul qadr itu? Lailatul Qadr itu adalah lebih baik dari seribu bulan” [Al-Qadr: 1-3]
Bulan yang padanya dibelenggu syaitan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka:
Nabi SAW bersabda:Maksudnya: “Apabila tiba ramadhan; telah dibuka pintu-pintu syurga, telah ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan” [HR Al-Bukhari: 3277, Muslim: 1079]
—–

MERDEKA....

Sinonim dengan bulan kemerdekaan, Ogos dijadikan sebagai isu untuk dikaitkan dengan pelbagai sensitiviti yang melibatkan patriotisma seseorang. Kebiasaaan juga Ogos adalah bulan bagi ahli-ahli politik mencanang serta melaungkan rasa kecintaan terhadap negara serta tidak lupa manusia yang bergelar rakyat Malaysia yang tidak berbelah bahagi menyatakannya.
Persoalannya, apakah mereka memahami nilai sebenar erti kemerdekaan seperti mana yang mereka sering ungkapan ketika tiba bulan kemerdekaan negara?
Mungkin ramai orang diluar sana tidak mengetahui erti kemerdekaan yang sebenarnya. Merdeka yang ringkas difahami oleh kebanyakkan rakyat Malaysia adalah sebuah negara yang bebas dari cengkaman penjajah.
Di dalam konteks ini, kita sedari bahawa negara Malaysia sememangnya bebas dari penjajah tetapi kita lupa bahawa sedikit demi sedikit minda kita ditarah serta dihakis dari menjiwainya.
Keaslian dan ketulenan kemerdekaan serta pengorbanan yang dilakukan oleh pemimpin juga perwira negara dahulu dicemarkan oleh minda yang lupa asal-usulnya.
Minda yang dikatakan merdeka adalah minda yang bersih dari segala jajahan penyaluran informasi baik dari segi ikutan, budaya dan sosialnya. Sebaliknya apa yang berlaku di negara kita banyak menjurus ke arah ‘trend’ negara lain yang sememangnya lari dari konsep yang diamalkan di negara kita sebelum ini.
Sebagai contoh, generasi muda sekarang ini, lebih cenderung ke arah keseronokan semata-mata serta tidak menampakkan semangat patriotik yang sepatutnya ada pada setiap individu yang bergelar rakyat Malaysia.
Mereka lebih berminat terhadap program hiburan semata-mata yang rata-rata menguntungkan sesetengah pihak sahaja dan terlalu mengasyikkan sehingga lupa bahawa ada sesetengah program itu melencong daripada kebiasaan dan adat resam budaya kita.
Di sini apa yang dapat dilihat, generasi muda kita leka disaluti dengan nikmat yang diperjuangkan oleh generasi yang terdahulu. Mereka ini juga lupa bagaimana negara kita dapat menikmati kemerdekaan pada hari ini.
Secara sedar atau tidak, kita dapat melihat dengan cara serta tahap pemikiran ada pada generasi sekarang ini. Memang tidak dapat dinafikan negara kita semakin maju dan kehadapan, syabas diucapkan, tetapi nilai murni serta keluhuran budi bahasa juga perlu selaras bersama kemajuan bagi menjana keutuhan moral kepada generasi muda sekarang yang perlu disemai kepada generasi sekarang.
Apa yang perlu ditekan serta diingati di sini adalah kita juga mempunyai sejarah yang perlu diingati dan dipelajari dari masa ke semasa supaya kita tidak dijajah semula.
Generasi sekarang perlu pandai menjana minda untuk menghadapi cabaran yang ada pada masa ini kerana pelbagai bentuk informasi dan cara sambutan kemerdekaan yang penulis rasa bertentangan dengan budaya kita sedang berlaku.
Apa yang lebih ditakuti adalah penjajahan minda yang kronik sedang menular di negara yang suatu masa dahulu juga adalah sebahagian daripada negara kita.
Jangan sampai kita terkena tempias negara jiran yang meraikan hari kemerdekaan dengan cara yang langsung tidak menunjukkan ciri-ciri kemerdekaan serta tidak bertamadun.
Di dalam bulan kemerdekaan ini marilah kita bersama-sama bersatu dalam pelbagai bentuk tidak kira dari segi mental dan fizikal.
Percayalah kemajuan datangnya dari rakyat yang bersatu dan perpecahan pendorong kemunduran dan kemerosotan sesuatu negara. Bak kata pepatah “Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh”.
Oleh itu, kita semua perlu memperkemaskan diri serta minda dalam menghadapi cabaran global yang tidak bersempadan serta memperkukuhkan tonggak jati diri supaya erti kemerdekaan sebenar dapat dihayati justeru maruah negara Malaysia dapat dipelihara.